Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung berlubang serta masalah mental terpaksa mengharungi kehidupan penuh cabaran apabila menjaga lima anak orang kurang upaya (OKU) sendirian selepas kematian suaminya akibat kanser dua tahun lalu.
Wanita berkenaan, Ismarida Ismail, 42, kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya di Kampung Telekong, Pasir Puteh.
Pengerusi Persatuan Mahabah Asnaf (PMA), Che Norhayati Mohamed berkata, kelima-lima anak Ismarida iaitu Nur Hidayah Kamaruzzaman (20), Nurbaiyah (18), Nur Amirah Syahirah (15), Muhammad Aniq Danish (13) dan Muhammad Abdullah Isyraf (4) merupakan OKU pembelajaran yang memerlukan perhatian khas setiap hari.
Menurutnya, keadaan keluarga itu semakin membimbangkan apabila salah seorang anak, Nur Amirah Syahirah, turut menghidap penyakit leukemia, menyebabkan remaja itu kerap pening kepala dan mudah keletihan.
Selain itu, anak bongsunya, Muhammad Abdullah Isyraf, disahkan menghidap kebocoran injap jantung dan memerlukan rawatan serta pemantauan berterusan.
“Ini menyebabkan keluarga tersebut hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya ketika ditemui pada Program Anak-Anak Angkat PMA di Pasir Puteh baru-baru ini.
Che Norhayati berkata, pihaknya mengetahui mengenai nasib keluarga itu selepas menerima maklumat daripada penduduk setempat.
Katanya, Ismarida kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
“Ismarida memerlukan bantuan terutama dalam menyediakan keperluan harian dan kos rawatan anak-anak. Kita sudah mengambil kelima-lima anak Ismarida sebagai anak angkat.
“Kita menyediakan perbelanjaan RM2,000 sebulan untuk menampung kos penghantaran empat anaknya ke sekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Che Norhayati di talian 011-2546 6362 untuk maklumat lanjut.
Sumber: Kosmo
SHARE:
