Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia yang enggan menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan supaya tidak tinggal di negara ini.
Titah baginda disampaikan ketika pembukaan Sidang Parlimen 2026, dengan menegaskan bahawa apa jua sistem pendidikan yang ingin diperkenalkan mesti selari dengan dasar pendidikan negara yang berteraskan Bahasa Melayu.
Menurut baginda, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan Malaysia.
“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti jadi bahasa utama kerana ia bahasa kebangsaan,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa sebarang usul untuk mengiktiraf mana-mana sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras utama.
“Kalau ada yang tak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda dengan tegas.
Dalam perkembangan sama, Sultan Ibrahim menyeru semua pihak supaya kembali kepada semangat pembentukan Malaysia berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.
Baginda bertitah, rakyat perlu kembali kepada niat asal penubuhan Malaysia iaitu membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dalam suasana harmoni.
“Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan agar semua pihak berhati-hati supaya tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah, sebaliknya sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang tanpa kebencian atau syak wasangka.
Dalam titah yang sama, baginda menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda had tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, selain menyokong pengasingan kuasa antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pendakwa raya.
Sumber: Malaysia Kini
SHARE:
