Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempersoalkan asal usul orang Melayu di negara ini sebagai satu kesalahan jenayah.
Menurut laporan Sinar Harian, cadangan itu dikemukakan oleh Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual dari Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Beliau berpandangan negara kini berdepan fenomena yang disifatkannya sebagai "Melayu phobia", sekali gus menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang yang lebih khusus bagi menangani isu tersebut.
Menurut beliau, Akta Hasutan ketika ini tidak lagi mencukupi untuk menangani tindakan pihak yang secara khusus mempersoalkan asal usul pribumi Melayu di negara ini.
"Negara diancam dengan Melayu phobia. Negara memerlukan satu akta khusus yang memperuntukkan sesiapa yang mempersoalkan asal usul orang Melayu sebagai satu kesalahan jenayah.
"Haramkan sesiapa sahaja atau mana-mana pihak yang secara khusus mempersoalkan asal usul pribumi Melayu di negara ini. Akta Hasutan tidak cukup. Enough is enough," katanya.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Ahmad Murad turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran naratif yang disifatkannya sebagai tidak tepat mengenai sejarah dan asal usul orang Melayu.
Beliau turut menggesa media serta portal berita supaya tidak terlalu ghairah melaporkan atau mengulas dakwaan yang menurutnya boleh mengelirukan masyarakat.
Katanya, penyebaran paparan yang salah atau berita palsu berkaitan sejarah asal usul bangsa pribumi tidak seharusnya dilindungi atas alasan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar atau kebebasan akademik.
Ahmad Murad turut menegaskan bahawa orang Melayu di Malaysia merupakan pribumi dari sudut geografi dan sejarah Kepulauan Melayu, selain mempersoalkan kewajaran mana-mana pihak mempertikaikan perkara tersebut.
Menurut laporan Malaysia Gazette, kenyataan beliau dibuat ketika isu berkaitan identiti, sejarah dan kedudukan orang Melayu kembali menjadi perdebatan susulan kenyataan kontroversi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette
