Pukul Pengawal Peribadi dan Hina Ibadah Puasa, Ahli Perniagaan Dipenjara Lima Tahun

Seorang ahli perniagaan mula menjalani hukuman penjara lima tahun hari ini selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan serta menghina agama dua pengawal peribadinya.

Menurut laporan Bernama, Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim mengekalkan sabitan terhadap Chung Chee Yang, 48, selepas mendapati kesalahan yang dilakukannya amat serius.

Mahkamah berpendapat hukuman setimpal perlu dijatuhkan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

“Tindakan mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras sepenuhnya agar tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan.

“Perbuatan menghina tuhan agama lain satu perbuatan hina dan tidak wajar diucapkan oleh orang yang dikatakan banyak berbakti kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Tiada Alasan untuk Mahkamah Campur Tangan

Shamsulbahri berkata hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret masih dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang dan berpatutan dengan keseriusan kesalahan tersebut.

Oleh itu, mahkamah mendapati tiada alasan untuk campur tangan terhadap hukuman berkenaan.

Bagaimanapun, beliau membenarkan hukuman penjara berasingan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula hari ini.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam Chung, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tengku Zahari.

Sebelum Ini Dipenjara Enam Tahun 10 Bulan

Pada Mac 2025, Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 terhadap Chung selepas mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan.

Mahkamah ketika itu turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, Chung didakwa mengugut pengawal peribadinya, Mohd Azminizam Zulkepli, 49, dengan mengacukan pistol.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengeluarkan perkataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan dengan mengaitkan perkataan Allah dan ibadah puasa.

Kata-kata tersebut didengar oleh Mohd Azminizam dan seorang lagi pengawal peribadinya, Ahmad Shamsuri Zailani, 32.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Chung turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam pada 13 April 2021.

Sumber: Bernama

TERKINI

Myanmar Setuju Terima Semula 5,000 Pelarian Rohingya Dari Malaysia
|
Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang…
Pukul Pengawal Peribadi dan Hina Ibadah Puasa, Ahli Perniagaan Dipenjara Lima Tahun
|
Seorang ahli perniagaan mula menjalani hukuman penjara lima tahun…
Penunggang RXZ Maut Dirempuh Selepas Proton Wira Buat Pusingan U
|
Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas melanggar sebuah…
Dua Pemandu Bas Ekspres Ditahan, Sorok Syabu Belakang Tempat Duduk Pemandu
|
Dua pemandu bas ekspres ditahan polis selepas disyaki memiliki…
34,000 Akaun Pengguna Di Empat Jajahan Dijangka Alami Gangguan Bekalan Air
|
Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan di Kelantan…
PGA Tahan Enam Lelaki, Rampas 360 Tan Bijih Besi Di Kuala Krai
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki serta merampas…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!