Individu dipercayai penghuni sebuah premis kedai di Tanah Merah, Kelantan tampil menegur sikap segelintir peniaga pasar malam yang didakwa membuang sampah jualan ke dalam longkang hadapan premis mereka.
Menerusi satu perkongsian di sebuah kumpulan Facebook komuniti setempat, Eliya Adnan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan berkenaan yang disifatkan berulang kali berlaku setiap kali pasar malam diadakan pada hari Sabtu.
Menurutnya, sampah yang dibuang ke dalam longkang menyebabkan bau busuk dan menjejaskan persekitaran kedai mereka.
“Tolong jangan buang sampah dari jualan kamu ke dalam longkang depan kedai kami kerana baunya sangat busuk. Kami sudah banyak kali pesan,” katanya dalam perkongsian itu.
Beliau turut menegaskan bahawa alasan membayar sewa tapak tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk mengabaikan kebersihan kerana peniaga dan pemilik kedai sama-sama menanggung kos masing-masing.
“Kalau cakap kamu bayar tapak, kedai kami pun bayar juga, bukan percuma. Sama-sama kita jaga kebersihan,” ujarnya.
Dalam nada lebih tegas, beliau memberi peringatan supaya peniaga lebih beradab dan bertanggungjawab, selain mengingatkan bahawa tindakan membuang sampah sesuka hati boleh mendedahkan identiti pelaku.
“Jangan sampai kami terpaksa tunjukkan muka dan nombor plat kereta yang membuang sampah itu. Kamu sudah tua, bukan budak-budak lagi, sepatutnya tahu adab dan bahasa,” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang rata-rata bersetuju bahawa kebersihan kawasan pasar malam perlu dijaga bersama demi keselesaan semua pihak.
KD: Keluar berniaga cari rezeki tu dah betul, adab dan tanggungjawab jangan lupa bawa sekali.
