Kerajaan Kelantan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pelancong luar negeri merasai sendiri pengalaman mendulang emas secara tradisional, lapor Berita Harian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor, langkah itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dan memberi pengalaman yang berbeza kepada mereka.
Bagaimanapun, cadangan itu hanya melibatkan aktiviti mendulang tradisional tanpa sebarang penggunaan jentera.
“Saya percaya aktiviti mendulang bakal memberi pengalaman menarik kepada pelancong yang datang ke Kelantan dan mungkin situasi itu tidak dapat di negeri lain,” katanya.
Menurutnya lagi, cadangan itu bukan untuk menutup peluang penduduk setempat, sebaliknya lebih kepada tarikan pelancongan.
“Cadangan ini bukannya mahu menutup peluang penduduk Kelantan atau penduduk setempat untuk aktiviti berkenaan, sebaliknya ia hanya tujuan pelancongan dan untuk memberi pengalaman kepada pelancong.
“Jangan fikir mereka mahu mendulang untuk mendapatkan sejumlah emas, sebaliknya mereka (pelancong) hanya sekadar mahu mencuba dan merasai bagaimana kaedah mendulang secara tradisional, andai kata mereka mendapat emas itu adalah rezeki terpijak buat pelancong,” katanya.
Kamaruddin berkata, jumlah lesen juga mungkin akan dihadkan supaya tidak mengganggu aktiviti masyarakat setempat.
“Ini antara cadangan yang saya kemukakan untuk aktiviti mendulang bagi aspek pelancongan, namun ia masih dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan peningkatan ketara jumlah pendulang di beberapa lokasi Hulu Kelantan sejak seminggu lalu selepas kerajaan negeri mengumumkan kebenaran mendulang emas di tanah kerajaan dengan syarat tertentu pada 10 November.
Fenomena itu turut menarik kedatangan penduduk luar daerah dan luar Kelantan termasuk dari Terengganu dan Pahang yang sanggup menginap di rumah inap desa semata-mata untuk mendulang.
KD: Bimbang sebenarnya aktiviti mendulang ni jadi tak terkawal dan boleh merosakkan ekosistem, apapun idea untuk menarik pelancong merasai aktiviti ini agak menarik.
Sumber: Berita Harian
