Kembar OKU Kerdil Dari Pasir Mas Genggam Sarjana UKM

Kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mengejar cita-cita apabila pasangan kembar orang kurang upaya (OKU) kerdil dari Pasir Mas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) pada Majlis Konvokesyen ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kejayaan itu diraih oleh Nik Nurul Najaa Mohd. Yasin, 26, bersama adiknya, Nik Nurul Najwa yang merupakan graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

Kedua-duanya menerima ijazah masing-masing daripada Pro-Canselor UKM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Berkongsi perjalanan mereka, Nik Nurul Najaa berkata, dia dan adiknya tidak pernah berpisah sejak zaman persekolahan, malah meneruskan pengajian di universiti yang sama sehingga ke peringkat sarjana.

Menurutnya, mereka mula menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera di UKM pada 2020, ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

“Tahun 2020 pandemik Co­vid-19 dan ketika itu belajar secara dalam talian. Kemudian pada 2023, kami dibenarkan masuk ke kampus dan ditempatkan dalam bilik yang sama.

“Selepas graduasi, kami meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana juga di UKM. Kami membesar sama-sama, duduk bersebelahan di dalam kelas, malah jika tugasan kumpulan kerja pun memang tetap bersama,” katanya.

Kakak Buat Rayuan Untuk Belajar Bersama

Guru tadika itu berkata, perjalanan mereka untuk memasuki UKM pada peringkat ijazah sarjana muda bermula dengan sedikit cabaran apabila hanya adiknya memperoleh tawaran awal ke universiti berkenaan.

Bagaimanapun, Nik Nurul Najaa tidak berputus asa dan membuat rayuan selepas permohonan awalnya tidak berjaya.

“Saya mohon UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam bidang pendidikan, tapi tak berjaya. Saya buat rayuan kedua di UKM memandangkan dia (adik) dapat di sini, termasuk memilih jurusan sama.

“Ketika menyambung ijazah sarjana juga, kami menjalankan kajian tesis yang diselia oleh penyelia yang sama,” katanya.

Keluarga Tanggung Kos Pengajian

Sementara itu, Nik Nurul Najwa berkata, perjalanan mereka menamatkan pengajian turut disertai pelbagai cabaran, khususnya dari segi pengurusan masa dan kewangan.

Menurutnya, mereka tidak memohon sebarang bantuan sepanjang pengajian kerana semua perbelanjaan ditanggung oleh keluarga.

“Kami tak ada kelas, jadi cabaran termasuk nak urus masa selain kewangan memandangkan tidak memohon sebarang bantuan, kesemuanya ditanggung oleh keluarga,” katanya yang gemar berpakaian sedondon dengan kakaknya.

Pasangan kembar berkenaan yang merupakan anak kepada pesara guru itu turut berkongsi pengalaman apabila adakalanya menjadi perhatian orang ramai ketika berada di luar.

Mereka sering ditanya mengenai umur dan saiz fizikal, namun perjalanan pengajian yang dilalui bersama akhirnya membawa kedua-duanya ke pentas konvokesyen sebagai pemegang Ijazah Sarjana Sastera.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!