Projek Solar LSS5 Pasir Mas Mampu Bekalkan Elektrik Kepada 75,000 Rumah

Kelantan bakal melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan tenaga boleh baharu apabila Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Kampung Serongga, Mukim Apam, Pasir Mas dijangka mampu membekalkan tenaga elektrik bersih kepada kira-kira 75,000 buah rumah di seluruh negara.

Projek yang dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) seluas kira-kira 400 ekar itu akan dilengkapi dengan 280,000 keping modul solar serta 473 unit inverter.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis perasmian projek itu, pembangunan berkenaan dijangka menjana sekitar 300,000 megawatt jam (MWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun.

Pengerusi Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd., Datuk Wira Mohd Anis Hisham berkata, projek itu turut dianggarkan mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) melebihi 200,000 tan metrik setahun, sekali gus menyokong sasaran Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan pelepasan sifar bersih.

projek solar berskala besar lss5 pasir mas


“Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Pasir Mas merupakan antara pembangunan tenaga boleh baharu terbesar di Negeri Kelantan yang dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 162 hektar (400 ekar) di Kampung Serongga Mukim Apam Gual Periok yang dipajak daripada PKINK bagi tempoh 23 tahun.

“Diterajui oleh Samaiden Group Berhad sebagai pemaju keseluruhan dan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), projek ini merangkumi Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. (99.99MWac/150MWp) dan GVU Fajar Timur Sdn. Bhd. (27.60MWac/45MWp) dengan jumlah kapasiti keseluruhan 127.59MWac (195MWp),” katanya.

Antara Projek Solar Terbesar Di Kelantan

Di bawah Program Solar Berskala Besar Malaysia (LSS5), pembangunan itu melibatkan dua projek solar berskala utiliti iaitu Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. berkapasiti 99.99MWac di bawah Pakej 3 LSS5 dan GVU Fajar Timur Sdn. Bhd. berkapasiti 27.60MWac di bawah Pakej 2 (Bumiputera).

Secara keseluruhan, pembangunan bersepadu itu mempunyai kapasiti terpasang sekitar 196MWp, sekali gus menjadikannya antara projek solar utiliti terbesar di Kelantan.

Wujud Peluang Pekerjaan Kepada Anak Kelantan

Mohd Anis berkata, projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan kepada anak Kelantan selain membuka ruang kepada kontraktor dan pembekal tempatan untuk terlibat dalam rantaian pembangunan tenaga hijau.

Katanya, projek itu juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Kelantan sebagai destinasi pembangunan tenaga boleh baharu yang mampan.

“Pembangunan SLT dan GVU Fajar Timur secara bersepadu dijangka mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai hab tenaga boleh baharu yang sedang berkembang, selain mewujudkan nilai ekonomi berkekalan untuk negeri ini.

“Selain menjana elektrik bersih, projek ini akan mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada ekosistem tenaga boleh baharu negeri,” katanya.

Tambah beliau, projek itu turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan melalui penglibatan profesional kelahiran Kelantan serta peluang kepada subkontraktor tempatan.

Menurutnya, bersama projek EPCC solar berkapasiti 9.99MWac di Tok Bali yang sedang dibangunkan, Samaiden dijangka mempunyai jejak pembangunan tenaga solar sekitar 210MWp di seluruh Kelantan.

Beliau optimis projek LSS5 Pasir Mas akan terus memperkukuh peranan Kelantan dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) melalui penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih bersih, mampan dan berdaya saing.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

TERKINI

Jalan Kuala Krai–Gua Musang Ditutup Sementara 28 Julai Bagi Kerja Letupan Batu
|
Pengguna Jalan Persekutuan FT08 yang merancang perjalanan antara Kuala…
Kereta Berisi Bom Meletup Di Balai Polis Narathiwat
|
Sebuah kereta yang dipasang bahan letupan menggegarkan kawasan Balai…
Kanak-Kanak Perempuan Dua Tahun Maut Dirempuh Lori Dipandu Datuk Sendiri
|
Suasana tenang di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang,…
Projek Solar LSS5 Pasir Mas Mampu Bekalkan Elektrik Kepada 75,000 Rumah
|
Kelantan bakal melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan tenaga…
Lima Anggota Renjer Thailand Maut Dalam Serangan Hendap Di Narathiwat
|
Lima anggota Renjer Tentera Thailand terbunuh dalam satu serangan…
HRPZ II Bakal Terima Makmal Patologi Baharu Bernilai RM175 Juta
|
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!