Seorang nenek berusia 60 tahun bersama cucu lelakinya berumur 10 tahun terselamat selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Temangan Lama, Jalan Temangan Lama-Kuala Hau, Machang, awal pagi tadi.
Kejadian itu disedari wanita berkenaan ketika dia bangun untuk ke tandas sebelum mendapati ruang dalam rumah sudah dipenuhi asap.
Menyedari keadaan tersebut, dia segera menjerit meminta pertolongan jiran bagi menyelamatkan diri bersama cucunya.
15 Anggota Bomba Dikejarkan Ke Lokasi
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Ahmad Syauqi Hafiq Che Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 4.53 pagi.
Susulan panggilan itu, seramai 15 anggota dari BBP Machang, Sungai Durian dan Tanah Merah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.
"Tiga jentera digunakan dalam operasi itu membabitkan Fire Rescue Tender, Light Fire Rescue Tender dan jentera tangki air," katanya.
Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Bagaimanapun, rumah berkenaan mengalami kemusnahan dianggarkan 80 peratus akibat kebakaran.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Berita Harian
