Penduduk Machang kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih selesa apabila Pasar Besar Machang baharu di Bandar Seri Mentara telah mula beroperasi sebagai pusat perniagaan baharu.
Menurut kenyataan Majlis Daerah Machang (MDM) yang dimuat naik menerusi media rasminya pada 23 Julai, pasar baharu itu menawarkan kemudahan yang lebih moden, luas dan tersusun bagi memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjung.
MDM memaklumkan, suasana pasar yang lebih bersih dan kondusif bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan, malah memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada orang ramai.
Bahagian dalam Pasar Besar Bandar Machang | Foto: Majlis Daerah Machang
Dalam masa sama, para peniaga dari Pasar Besar Bandar Machang telah selesai berpindah ke lokasi baharu dengan bantuan serta sokongan daripada MDM bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian termasuk hasil segar di lokasi baharu itu sambil menyokong perkembangan perniagaan tempatan.
Menurut MDM, pembukaan Pasar Besar Machang baharu mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih moden, selesa dan kondusif kepada masyarakat serta memperkukuhkan aktiviti ekonomi setempat.
Sumber: inforakyat.kelantan, Majlis Daerah Machang
