Sebuah lori yang membawa muatan 120 batang kayu getah pelbagai saiz ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi di Bukit Panau, Tanah Merah, semalam.
Lori berkenaan ditahan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira jam 6.45 petang selepas anggota Batalion 7 PGA bersama Jabatan Perhutanan Kota Bharu mengesan kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan muatan kayu getah berkenaan.
Menurutnya, pemandu berusia 28 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan kayu yang dibawanya ketika diminta berbuat demikian.
“Susulan itu, pemandu ditahan dan lori bersama muatan kayu dirampas sebelum dibawa ke Balai Polis Tanah Merah dan nilai rampasan keseluruhan RM50,000,” katanya.
Kayu diperoleh daripada pekebun sekitar Bukit Panau
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh kayu berkenaan daripada pekebun di sekitar Kampung Bukit Panau sebelum merancang menghantarnya ke sebuah kilang kayu di daerah itu untuk diproses.
Katanya, suspek dipercayai mengambil upah memindahkan kayu sejak kira-kira tujuh bulan lalu dengan menggunakan lori milik bapa saudaranya.
“Suspek yang mengambil upah memindahkan kayu sejak kira-kira tujuh bulan lalu menggunakan lori milik bapa saudaranya.
“Suspek juga didapati memindahkan kayu tidak mengikut waktu yang ditetapkan Pejabat Hutan Kelantan selain tidak mempunyai permit pemindahan kayu yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Sementara itu, hasil rampasan diserahkan kepada Unit Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro
