Empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan dan dua orang kena tuduh (OKT) warga Bangladesh terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori agensi itu di Jalan Peringat-Bachok, berhampiran Kampung Padang Mokan, pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu lori terbabit cuba mengelak sebuah kenderaan awam yang tiba-tiba membelok ke kanan.
Ketika kejadian, lori berkenaan membawa empat anggota bersama dua OKT warga Bangladesh yang dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Mereka sebelum itu selesai menghadiri urusan pertuduhan di mahkamah di Kota Bharu.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Kamal Mohamad berkata, kesemua empat anggota yang berada dalam lori berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurutnya, dua OKT warga Bangladesh yang turut berada dalam kenderaan itu juga selamat tanpa mengalami kecederaan serius.
"Alhamdulillah, semua anggota kita yang terlibat dalam kemalangan tengah hari tadi seramai empat orang termasuk pemandu dan pengiring hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
"Manakala kedua-dua OKT warga Bangladesh juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Kamal berkata, kedua-dua OKT berkenaan kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan selepas selesai mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Kesemua anggota dan OKT terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu.
Sumber: Sinar Harian
