Jurutera Asal Kelantan Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan Di Lebuh Raya Senai-Desaru

Seorang jurutera wanita berasal dari Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.5 Lebuh Raya Senai-Desaru, Kota Tinggi, Johor, awal pagi Isnin.

Mangsa, Nurul Syifa’ Mohd. Kasimi, 26, yang bertugas di Pengerang dilaporkan berasal dari Kampung Teras Binjai, Kota Bharu.

Seorang lagi mangsa ialah anggota polis berpangkat sarjan, Sarjan Jorari Jusoh, 58, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.49 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hazmi Zulkafli berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton X70, Proton Persona dan Toyota Unser.

Menurutnya, mangsa berusia 58 tahun menaiki Proton X70, manakala mangsa berusia 26 tahun merupakan pemandu Proton Persona. Kedua-duanya dilaporkan tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

“Proton X70 dinaiki tiga orang manakala Proton Persona dan Toyota Unser masing-masing seorang. Mangsa tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan hyraulic cutter,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 1.55 pagi.

Katanya, kemalangan melibatkan Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun, Toyota Unser dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun serta Proton X70 yang dipandu lelaki tempatan berusia 58 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang dipandu oleh wanita berkenaan telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton X70 serta Toyota Unser yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga lagi individu yang terlibat dalam nahas itu terselamat.

Operasi menyelamat oleh pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam sebelum ditamatkan, manakala kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!