Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian tragis di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada 12 April lalu, kini dibenarkan keluar hospital pada Sabtu lepas.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata mangsa, Zara Aftar Zamzuri, 13, telah menjalani pembedahan melibatkan prosedur tampalan kulit pada cuping telinga pada 20 April lalu.
Menurutnya, keadaan luka pada telinga mangsa kini berada dalam keadaan bersih tanpa sebarang komplikasi atau jangkitan, namun masih memerlukan pemantauan rapi oleh pakar bedah.
“Beberapa siri rawatan susulan perlu diteruskan, dianggarkan antara empat hingga lima lagi prosedur akan dijalankan kerana ia melibatkan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu hari ini.
Rawatan Psikologi Turut Diteruskan
Selain rawatan fizikal, Dr Mohd Azman berkata rawatan psikologi juga perlu diteruskan melibatkan mangsa serta ahli keluarga bergantung kepada perkembangan emosi selepas trauma yang dialami mereka.
Menurutnya, pemantauan dari segi emosi amat penting bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Seorang Pelajar Maut, Seorang Parah
Dalam kejadian pada 12 April lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang guru wanita berusia 57 tahun di SMK Tanjong Mas.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
