Kerajaan Kelantan berpandangan larangan perkahwinan bagi individu berusia bawah 18 tahun tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini dengan mengambil kira masalah sosial yang berlaku ketika ini, lapor Utusan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pendirian itu juga selari dengan peruntukan Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang dikekalkan menerusi Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2025.
Menurutnya, keputusan berkenaan mengambil kira isu kebejatan sosial serta kewujudan mekanisme kawalan yang ketat bagi permohonan perkahwinan bawah umur seperti diperuntukkan dalam undang-undang.
“Keputusan tersebut mengambil kira masalah kebejatan sosial pada hari ini serta wujudnya mekanisme ketat kawalan perkahwinan bawah umur yang telah diperuntukkan dalam undang-undang.
“Pihak kerajaan negeri juga menggariskan Piawaian Operasi Standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai semua pemegang taruh bagi mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu berkenaan.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan hukum syarak serta kepentingan umum.
Dalam pada itu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan juga sentiasa menambah baik arahan berkaitan berdasarkan keperluan semasa, kajian dan pandangan profesional.
“Semua pihak, khususnya keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan sentiasa memperkukuhkan kerjasama.
“Langkah berkenaan dititik beratkan bagi memastikan matlamat kemaslahatan yang hendak dicapai dalam perkahwinan bawah umur dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian kerajaan negeri berhubung cadangan larangan perkahwinan bagi individu berusia 18 tahun ke bawah.
Sumber: Utusan
