Lelaki dipercayai warga asing yang menyerang seorang anggota polis sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong, maut selepas ditembak polis pada petang Rabu.
Suspek dilaporkan ditembak selepas bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kejadian tembakan berlaku antara jam 7.30 hingga 8 malam ketika polis berusaha mempertahankan diri dan menahan lelaki terbabit.
"Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke atas suspek.
"Namun tembakan hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan tersebut, polis berusaha membawa suspek untuk buat rawatan di hospital," katanya pada sidang media di Hospital Selayang.
Menurutnya, suspek disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Sementara itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang mengalami kecederaan sehingga pergelangan tangan kanannya putus dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anggota berkenaan kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Terdahulu, suspek dilaporkan meluru keluar dari sebuah unit kediaman dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira jam 7 malam.
Sumber: Berita Harian
