Seorang jururawat cedera parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, Kota Bharu, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu menyebabkan mangsa berusia 44 tahun mengalami kecederaan tikaman pada badan dan leher.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian pada malam sama sebelum menahan suami mangsa yang berusia 47 tahun selepas lelaki terbabit menyerah diri.
“Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Metro Online.
Mohd Azmir berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan.
Sumber: Harian Metro
