Lelaki berusia 47 tahun yang disyaki menikam isterinya, seorang jururawat berusia 44 tahun, sebanyak enam kali di Kampung Padang Lepai, Kadok, di sini, mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tiga daripada rekod berkenaan membabitkan kesalahan berkaitan narkotik, manakala satu lagi berkaitan kesalahan jenayah lain.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku pada Isnin lalu dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Pertikaian Perceraian Dipercayai Punca
Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati pertikaian berkaitan perceraian dipercayai menjadi punca suspek bertindak agresif terhadap isterinya.
"Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa yang diambil selepas laporan polis dibuat, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan isterinya untuk memfailkan perceraian
"Perkara itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak agresif sebelum menikam mangsa berulang kali, termasuk pada bahagian badan dan leher sebanyak enam kali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Suspek Serah Diri Kepada Polis
Suspek dilaporkan menyerah diri kepada polis selepas kejadian.
Dia kemudian direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
