Sindiket Edar Ganja Guna Kurier Tumpas Selepas Terlibat Kemalangan Di Tanah Merah

Sebuah kemalangan jalan raya di Kampung Batu 10, Batang Merbau, Tanah Merah membawa kepada penemuan dadah bernilai RM280,000 selepas polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang itu.

Suspek berusia 27 tahun ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas kereta Honda FD dipandunya terbabas ke tepi jalan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan 14 biji pil kuda bernilai RM154 yang disembunyikan di bawah papan pemuka.

Bagaimanapun, penemuan itu membawa kepada satu lagi kejutan apabila soal siasat terhadap suspek kemudian menemukan 13 bungkusan ganja bernilai RM280,000 yang disimpan di sebuah kedai telekomunikasi di sekitar Tanah Merah.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah ke kawasan luar Kelantan sejak Ogos 2025.

"Suspek mengedar dadah menggunakan khidmat kurier untuk dihantar ke kawasan luar Kelantan sejak Ogos 2025.

"Semakan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau selain positif syabu. Dia direman selama tujuh hari," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, ganja mampat yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di kawasan Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Keseluruhan rampasan melibatkan 14 biji pil kuda bernilai RM154 dan 13 bungkusan ganja yang dianggarkan bernilai RM280,000.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!