KLIA Makin Canggih, Penyeludupan Dadah Beralih Ke Kota Bharu, Pulau Pinang – PM

Penyeludup dadah dipercayai mula mengubah taktik dengan menggunakan lapangan terbang lain termasuk di Kota Bharu dan Pulau Pinang selepas menyedari penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Anwar, perubahan taktik berkenaan memerlukan kerajaan memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di pintu masuk negara.

"Sekarang bila mereka tahu KLIA (ada teknologi pengesanan lebih canggih), maka dia pergi ke (lapangan terbang) terutamanya yang ada penerbangan ke luar negara.

"Kota Bharu sekarang ada (penerbangan ke luar negara), Pulau Pinang ada. Jadi kita kena sediakan kemudahan teknologi dan analitik ini yang lebih canggih," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang membangkitkan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah lain bagi menangani taktik penyeludupan dadah yang semakin canggih di lapangan terbang.

Pengimbas lama sukar kesan dadah

Dalam sesi berkenaan, Ku Abd Rahman turut membangkitkan bahawa alat pengimbas sedia ada di lapangan terbang pada asalnya dibangunkan untuk mengesan bahan letupan, senjata dan logam berbahaya, bukannya dadah.

Anwar mengakui peralatan pengimbas yang digunakan sebelum ini berasaskan teknologi lama, sedangkan kaedah penyeludupan semakin canggih sehingga ada dadah yang sukar dikesan melalui pemeriksaan biasa.

Justeru, kerajaan sudah memperoleh kemudahan analitik baharu bagi meningkatkan keupayaan mengesan dadah, selain menggunakan unit anjing pengesan K9 dalam operasi pemeriksaan keselamatan.

Bagaimanapun, kemudahan teknologi baharu itu setakat ini hanya tersedia di KLIA.

Pemeriksaan K9 dan teknologi AI dipertingkat

Anwar berkata kerajaan memandang serius kegiatan penyeludupan dadah serta barangan terlarang kerana kelemahan kawalan di mana-mana pintu masuk boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan bukan sahaja berlaku melalui laluan udara, malah turut melibatkan sempadan darat dan laut yang memerlukan penguatkuasaan lebih ketat.

Sehubungan itu, kerajaan memperkukuh kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan agensi penguatkuasaan berkaitan menerusi beberapa inisiatif keselamatan.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penggunaan CCTV analitik AI serta pemeriksaan oleh unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di kawasan pengasingan bagasi.

Kerajaan juga memberi perhatian kepada pemodenan aset dan infrastruktur keselamatan selain meningkatkan penyelarasan maklumat secara masa nyata antara agensi penguatkuasaan.

Perkembangan ini menunjukkan keperluan memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang yang mempunyai penerbangan antarabangsa seperti Kota Bharu.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!