Motosikal Bergesel Dengan Treler, Wanita Maut Terseret Di Kuala Krai

Seorang wanita berusia 55 tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama suami terjatuh sebelum terseret sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, mangsa yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Suaminya yang berusia 56 tahun dan menunggang motosikal berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu treler berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1.20 tengah hari daripada anggota bertugas di Bilik Gerakan IPD Kuala Krai.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu sebuah treler jenis Volvo dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu treler menyedari sebuah motosikal bergesel pada bahagian tayar paling belakang sebelah kiri kenderaan yang dipandunya.

Akibat pergeseran itu, motosikal berkenaan terjatuh sebelum terseret oleh treler.

Susulan kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

Menurut Mazlan, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang secara melulu sehingga menyebabkan kejadian berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya yang sibuk berikutan pertambahan jumlah kenderaan sempena cuti perayaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir menerusi talian 09-9666222.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!