Nenek Maut Dua Cucu Cedera Kereta Rempuh Pokok di Rantau Panjang

[DIKEMASKINI] Seorang wanita warga emas maut manakala dua cucunya cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Cabang 4 Salam, Rantau Panjang pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.16 pagi itu, Che Rokiah Che Idris, 73, yang berada di tempat duduk penumpang sebelah pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi mangsa yang dipercayai cucu mangsa, Nor Maisarah Mazlan, 23, dan Norqistina, 18, mengalami kecederaan.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Hamzah Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.

“Sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di sana, Che Rokiah yang merupakan penumpang di sebelah pemandu didapati telah tersepit,” katanya ketika dihubungi.

Anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayatnya kepada pihak polis di lokasi kejadian.

Menurut Hamzah, dua mangsa yang cedera dipercayai adik-beradik dan masing-masing merupakan pemandu serta penumpang kenderaan tersebut.

Kedua-duanya telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan lanjut.

**Kemaskini Terbaru:

Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang (Culvert Lima) meninggal dunia ketika menerima rawatan pada Isnin.

Nor Maisarah Mazlan, 23, yang duduk di kerusi penumpang hadapan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pasir Mas.

Perkembangan itu menjadikan jumlah korban nahas tersebut seramai dua orang selepas penumpang kerusi belakang, Che Rokiah Che Idris, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu melibatkan tiga mangsa yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

Mereka dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju Rantau Panjang ketika kereta dinaiki dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

“Pemandu, Norqistina,18, pula mengalami patah pergelangan tangan serta kecederaan dalaman dan masih menerima rawatan lanjut di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Polis menerima makluman berhubung kemalangan maut berkenaan kira-kira jam 11.25 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!