[VIDEO] Lari Ketika Dihampiri JPJ, Warga Asing Dirempuh Kereta Di Pasir Tumboh

Seorang warga asing cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan di Jalan Limbat-Pasir Tumbuh, pada Isnin.

Kejadian pada 2 November 2026 itu berlaku ketika anggota JPJ sedang menjalankan Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) secara penyamaran.

JPJ Negeri Kelantan dalam kenyataan media memaklumkan, anggota bertugas mengesan individu berkenaan sedang menunggang motosikal sebelum menghampirinya untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, individu terbabit bertindak agresif sebelum melarikan diri.

Warga asing dirempuh ketika melintas jalan

Menurut JPJ, ketika kejadian, individu berkenaan telah menyeberangi jalan sebelum dirempuh sebuah kereta yang sedang melalui laluan berkenaan.

Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan mengalami kecederaan.

Anggota JPJ yang berada di lokasi segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan perubatan.

Tiada lesen memandu, LKM motosikal tamat tempoh

Hasil pemeriksaan mendapati individu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Motosikal yang digunakan pula didapati mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

JPJ Negeri Kelantan menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab jabatan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

Orang ramai diingatkan tidak pinjamkan kenderaan sewenangnya

Dalam kenyataan sama, JPJ turut menasihatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya meminjamkan atau membenarkan warga asing menggunakan kenderaan tanpa memastikan mereka mempunyai lesen memandu yang sah.

Pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab kerana tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan dakwaan yang tidak berasaskan fakta sahih hanya berdasarkan rakaman video tular.

JPJ meminta orang ramai mengambil kira keseluruhan kronologi dan maklumat sebenar bagi mengelakkan salah faham serta persepsi yang tidak tepat.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!