Enam Fasiliti SUKMA Kelantan 2028 Dibangunkan, Ini Perkembangan Terkini

Persiapan Kelantan menjelang SUKMA 2028 semakin menjadi perhatian apabila status terkini pembangunan venue sukan menunjukkan beberapa projek masih dalam pembinaan, malah ada yang belum mencapai kemajuan seperti dijadualkan.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari bin Muhamad, setakat Oktober 2026, Stadium Utama Bukit Merbau di Pasir Puteh kini mencatat kemajuan sebenar 40.76 peratus, sedikit di belakang jadual yang menetapkan kemajuan 42.37 peratus.

Stadium utama itu dijadualkan siap pada 24 Jun 2027.

Bagi Stadium Hoki pula, kemajuan sebenar masih pada tahap 19.72 peratus berbanding 24.25 peratus yang dijadualkan. Tarikh siap projek ditetapkan pada 7 Jun 2027.

Arena Tertutup Serbaguna juga masih dalam pembinaan dengan kemajuan 24.05 peratus, berbanding 25.53 peratus mengikut jadual. Projek itu dijangka siap pada 6 September 2027.

Bagaimanapun, bukan semua projek ketinggalan daripada jadual.

Lapang Sasar Menembak mencatat kemajuan 47.61 peratus, mengatasi kemajuan berjadual 45.07 peratus. Kemudahan itu dijadualkan siap pada 19 April 2027.

Pusat Akuatik pula merekodkan kemajuan 31 peratus, manakala Pusat Skuasy dan Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung mencapai 23.25 peratus.

Dalam perkembangan yang lebih positif, kerja tanah dan pembinaan jalan masuk utama sudah selesai pada 18 Ogos 2026.

Sementara itu, kontrak pembinaan infrastruktur dan kerja lain berkaitan mencatat kemajuan 57.51 peratus, berbanding 68.85 peratus mengikut jadual.

Kesemua projek yang dipaparkan mempunyai tarikh siap antara Mac hingga September 2027.

Dengan SUKMA dijadualkan berlangsung pada 2028, perkembangan setiap projek akan terus menjadi tumpuan bagi memastikan venue yang dirancang tersedia sebelum temasya sukan kebangsaan itu berlangsung.

venue sukma kelantan 2028

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!