Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat berkaitan operasi atau serbuan polis kepada seorang individu, empat tahun lalu.
Roslee Mamat, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Roslee yang ketika itu berpangkat Sarjan Mejar di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu didakwa menerima suapan bernilai antara RM400 hingga RM1,000 daripada seorang individu.
Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan untuk tertuduh memberikan perlindungan dengan membocorkan maklumat lebih awal sekiranya terdapat operasi atau serbuan polis yang akan dijalankan.
Maklumat tersebut didakwa bertujuan membolehkan individu berkenaan membuat persediaan atau melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditangkap.
Didakwa Berlaku Pada 2022
Perbuatan tersebut didakwa berlaku di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor serta Masjid Gong Terap, Setiu pada Oktober dan Disember 2022.
Roslee didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan tersebut membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Jaminan RM6,000
Mahkamah membenarkan Roslee yang mempunyai lima anak diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan terhadap tertuduh.
Antaranya, Roslee tidak dibenarkan memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, tidak boleh berkomunikasi dengan saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 27 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar.
Sumber: Sinar Harian
