Tambang perjalanan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu ditawarkan bermula RM125 sehala bagi perkhidmatan transit, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM147 bagi kelas Ekonomi.
Selain tambang permulaan itu, ECRL turut menyediakan inisiatif tambang inklusif dan mesra rakyat yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada kumpulan penumpang tertentu.
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan, kadar tambang berkenaan diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu menerusi mekanisme tambang dinamik, yang membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
Berapa tambang ECRL dari Gombak?
Berikut ialah tambang permulaan kelas Ekonomi bagi perjalanan dari Gombak ke tiga destinasi yang dinyatakan:
| Destinasi | Transit | Ekspres |
|---|---|---|
| Kota Bharu | RM125 | RM147 |
| Kuala Terengganu | RM95 | RM110 |
| KotaSAS, Pahang | RM60 | RM68 |
Harga tersebut ialah tambang permulaan dan boleh berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan serta ketersediaan tempat duduk.
Diskaun 50 peratus
Inisiatif tambang inklusif dan mesra rakyat ECRL turut menyediakan diskaun 50 peratus bagi tiket kelas Ekonomi kepada beberapa kumpulan penumpang.
Antaranya ialah:
- Kanak-kanak: Berumur dua hingga 12 tahun.
- Warga emas: Warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas.
- Orang Kurang Upaya (OKU): Pemegang kad OKU.
- Pesara kerajaan: Bekas penjawat awam.
Sementara itu, pelajar berumur 13 hingga 24 tahun ditawarkan diskaun sebanyak 40 peratus.
Bagaimanapun, semua diskaun tersebut tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Tiket dibuka November, operasi bermula Disember
Berdasarkan maklumat operasi yang dipaparkan, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan dibuka pada pertengahan November 2026.
Operasi komersial pula dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026.
Perkhidmatan itu akan melibatkan 10 set tren elektrik berbilang unit (EMU) dengan kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
Jadual perjalanan ECRL
Kekerapan perjalanan yang dipaparkan adalah berbeza mengikut hari.
Isnin hingga Khamis
- 12 perjalanan sehari.
- Enam perjalanan bagi setiap arah.
Jumaat hingga Ahad
- 16 perjalanan sehari.
- Lapan perjalanan bagi setiap arah.
Pada peringkat permulaan, sekitar 2.2 juta tempat duduk dijangka disediakan sepanjang tahun 2027.
Semak harga dan tempahan melalui laman rasmi
Memandangkan ECRL menggunakan mekanisme tambang dinamik, penumpang disarankan menyemak harga sebenar berdasarkan tarikh dan waktu perjalanan masing-masing sebelum membuat tempahan.
Maklumat lanjut mengenai operasi dan penjualan tiket boleh diperoleh melalui laman rasmi ECRL di www.ecrl.com.my.
