KOTA BHARU – Seorang pempengaruh yang juga pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, Ahmad Radzli Che Ngah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Li, kini ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, selepas mengalami serangan jantung pada 5 Oktober lalu, lapor Berita Harian.
Cikgu Li, 59, yang popular di laman Facebook dan TikTok dengan nama “Rambo Castello”, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami serangan jantung ketika berada di Jogjakarta atas urusan lawatan kerja bersama delegasi rakan setugas dari PPD Jeli.
Beliau yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) ditemani isterinya, Asiah Abdullah, 55, dan anak ketiga mereka, Hafizul Fazli, 30, yang bergegas ke Indonesia sebaik dimaklumkan mengenai keadaan beliau.
Asiah berkata, suaminya ke Jogjakarta bersama rakan-rakan setugas pada 4 Oktober lalu sebelum dikejarkan ke hospital keesokan harinya.
“Pada mulanya, suami terkena serangan jantung sebelum muntah dan tidak sedarkan diri. Rakan-rakannya terus membawa suami ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Selepas beberapa prosedur rawatan dilakukan, tangan suami bergerak sebelum pihak hospital meminta izin untuk rawatan intubasi (menidurkan pesakit),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, Asiah bersama anaknya berlepas ke Jogjakarta pada 6 Oktober untuk berada di samping Ahmad Radzli yang kini dilaporkan stabil walaupun masih ditidurkan.
Beliau memaklumkan sebelum jatuh sakit, suaminya bersama rakan-rakan baru selesai melakukan aktiviti rekreasi dan dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.
“Saya diberitahu ketika berada di dalam kereta, suami muntah sebelum tidak sedarkan diri. Pihak hospital memaklumkan bahawa suami terkena serangan jantung.
Suami kini bernafas dengan bantuan oksigen, namun keadaannya semakin baik dan stabil.
Saya meminta orang ramai mendoakan keadaan suami agar kembali pulih seperti biasa dan dapat pulang ke Kelantan secepat mungkin,” katanya yang tinggal di Kampung Wakaf Zing, Jeli.
Menurut Asiah, anak mereka sedang menguruskan urusan insurans bagi menampung kos rawatan suami di sana.
Rambo Castello, yang mempunyai lebih 168,000 pengikut di Facebook dan 330,000 di TikTok, dikenali melalui kandungan berunsur nasihat, cara hidup kampung serta tip bercucuk tanam.
#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian
