PM Bawa Presiden Perancis Bersiar-Siar Di Petaling Street, Lawat Tokong Dan Kuil

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengambil kesempatan meneroka suasana ibu negara apabila dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersiar-siar di sekitar Petaling Street, Kuala Lumpur pada Selasa.

Kunjungan santai itu berlangsung kira-kira 30 minit bermula sekitar jam 2 petang dengan kedua-dua pemimpin berjalan kaki menyusuri deretan kedai di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

anwar and macron in malaysia


Mereka turut diiringi delegasi serta pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara dan kawalan keselamatan. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Sepanjang kunjungan itu, Anwar dan Macron dilihat meninjau aktiviti perniagaan serta suasana di kawasan yang turut dikenali sebagai Chinatown.

Lawat Dua Rumah Ibadat Bersejarah

Menariknya, kedua-dua pemimpin turut meluangkan masa melawat Tokong Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam yang terletak berhampiran antara satu sama lain di Jalan Tun H.S Lee.

Anwar turut memberikan penerangan kepada Macron mengenai keunikan kepelbagaian budaya, produk tempatan serta sejarah kawasan perniagaan berkenaan.

Mereka juga sempat melambai dan beramah mesra dengan orang ramai serta pelancong asing yang berada di sekitar Petaling Street.

Menurut laporan Bernama, kunjungan santai itu merupakan antara pengisian lawatan rasmi Macron ke Malaysia bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan Rasmi Pertama Macron Ke Malaysia

Lawatan berkenaan merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Perancis merupakan rakan dagang kesepuluh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!