Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah membuat hantaran berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook.
Mohamed Shazrin Jamil, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin di Mahkamah Sepang, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau menerusi akaun Facebook miliknya menggunakan nama 'Shazrin Kedah' pada 12 Mac lalu.
Dia didakwa secara sedar memuat naik komen berkenaan kira-kira jam 6.15 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu mengandungi rujukan kasar dan ucapan bernada kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah Perdana Menteri.
Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan perlindungan awam serta pencegahan kesalahan sama.
Beliau berkata, tahap penghinaan dalam komen berkenaan, penggunaan kata-kata kesat serta sifat hantaran yang boleh diakses orang awam merupakan faktor pemberatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah.
Katanya, hukuman tegas bukan sahaja bertujuan menghalang tertuduh mengulangi kesalahan, malah memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Amer Haiqal Mohd. Yusof memohon supaya hukuman penjara lebih singkat dikenakan dengan mengambil kira keadaan kewangan serta tanggungjawab keluarga anak guamnya.
Menurutnya, tertuduh kini tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya memiliki wang kira-kira RM1,000.
Tertuduh juga merupakan anak yang bertanggungjawab menjaga ibu bapanya yang masing-masing menghidap penyakit batu karang serta diabetes dan tiga serangkai.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Mohamed Shazrin.
Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Kajang pada hari sama.
Sumber: Kosmo!
