Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjadi antara pelabur yang terkesan selepas syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, didakwa memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan KWAP untuk melabur dalam syarikat itu dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ketat berdasarkan maklumat rasmi yang tersedia pada ketika itu.
Menurut beliau, proses tersebut turut melibatkan pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah selain usaha wajar (due diligence) yang dijalankan secara bebas oleh konsortium pelabur.
“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
“Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menjelaskan bentuk pertanggungjawaban terhadap ahli Lembaga Pengarah, panel pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP susulan kerugian besar melibatkan dana persaraan penjawat awam.
Langkah Pemulihan Dana Sedang Dijalankan
Anwar berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa tindakan susulan, termasuk langkah undang-undang, usaha pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman serta pengukuhan sistem kawalan.
Katanya, KWAP turut menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan tersebut.
“Hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
“Susulan perbincangan itu, tindakan lanjut telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
Menurut beliau, KWAP kekal komited mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti, selain melaksanakan penambahbaikan bagi memperkukuh perlindungan terhadap pelaburan pada masa hadapan.
Pengasas eFishery Dipenjara
KWAP sebelum ini dilaporkan melabur sebanyak AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023.
Syarikat itu dipromosikan sebagai syarikat teknologi akuakultur yang menawarkan penyelesaian digital bagi memodenkan industri penternakan ikan dan udang.
Bagaimanapun, tahun lalu, pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Sumber: Utusan
