Thailand Usaha Percepatkan Projek ‘Jambatan Darat’, Laluan Pintas Selat Melaka

Kerajaan Thailand mengumumkan rancangan membina projek mega ‘jambatan darat’ di selatan negara itu akan diteruskan, sekali gus mewujudkan laluan penghubung antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik tanpa melalui Selat Melaka.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn yang menyelia Kementerian Pengangkutan berkata, situasi penutupan Selat Hormuz ketika ini menunjukkan betapa pentingnya laluan perkapalan utama dari sudut strategik.

Menurut beliau, kerajaan Thailand akan mempercepatkan usaha membangunkan projek berkenaan yang dianggarkan bernilai 1 trilion baht (RM122.3 bilion).

“Konflik di Asia Barat telah menunjukkan kelebihan mengawal laluan pengangkutan. Thailand akan mempunyai kelebihan dengan mengendalikan sambungan antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi,” katanya.

Laluan Merentasi Selatan Thailand

Projek itu melibatkan pembinaan laluan perdagangan merentasi bahagian sempit di selatan Thailand yang memisahkan Teluk Thailand dan Laut Andaman.

Matlamatnya adalah untuk menyediakan alternatif kepada Selat Melaka yang sering sesak, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran kira-kira empat hari dan mengurangkan kos sebanyak 15 peratus.

Secara khusus, projek tersebut akan membina pelabuhan laut dalam di wilayah Ranong dan Chumphon, selain jalan raya serta landasan kereta api sepanjang 90 kilometer yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu.

RUU Khas Dijangka Diluluskan

Bagi merealisasikan projek tersebut, kerajaan Thailand perlu meluluskan undang-undang khas, dan Kabinet dijangka meluluskan draf rang undang-undang (RUU) berkenaan pada akhir tahun ini.

Pembinaan projek dijangka siap menjelang tahun 2039, berdasarkan penyelidikan kerajaan Thailand yang turut meramalkan projek itu mampu memberi pulangan dalam tempoh 24 tahun.

Pada tahun pertama operasi, projek berkenaan dijangka menjana hasil sebanyak 58 bilion baht (RM7.09 bilion), terutama melalui jualan bahan api kepada kapal kargo.

Cabaran Logistik dan Kritikan

‘Jambatan darat’ itu merupakan kesinambungan kepada idea lama merentasi Semenanjung Kra yang pernah dicadangkan sebagai terusan sejak era Raja Rama I pada akhir abad ke-18.

Namun, kos yang terlalu tinggi serta ketidaktentuan keselamatan di wilayah selatan Thailand sering menjadi penghalang utama.

Pengkritik pula berpendapat konsep ‘jambatan darat’ kurang efisien kerana memerlukan pemindahan barangan daripada kapal ke pelabuhan, kemudian ke trak atau kereta api, sebelum dimuat semula ke kapal di pelabuhan lain.

Menurut laporan Bangkok Post, kekangan logistik itu menyebabkan projek berkenaan sukar menandingi kecekapan Pelabuhan Tuas Singapura yang bakal menjadi hab perkapalan automatik terbesar di dunia.

Selain itu, pakar alam sekitar turut memberi amaran projek itu boleh menyebabkan kerugian sekitar 1 bilion baht (RM122.3 juta) setahun kepada industri perikanan serta mengancam enam tapak Warisan Dunia UNESCO di sepanjang laluan cadangan.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

[VIDEO] “Hanya Di Kelantan” Masjid Tayang Tazkirah Pada Skrin Gergasi Raih Pujian
|
Tindakan Masjid An-Naim Sri Cemerlang di Kota Bharu menyiarkan…
Kalau Semua Pelakon Kelantan Ini Digabung Dalam Satu Filem, Confirm Meletup!
|
Kalau bercakap tentang pelakon berasal dari Kelantan, industri seni…
Kisah Bekas Bintang Filem Dewasa Dari Jepun Memeluk Islam Selepas Lawatan Ke Malaysia
|
Nama Kae Asakura atau lebih dikenali sebagai Rae Lil…
APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!