Empat kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 12 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika mahu mengambil bola di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim pada Isnin.
Menurut laporan Sinar Harian, polis mengesahkan dua lagi mangsa meninggal dunia selepas dua kanak-kanak terlebih dahulu disahkan maut di tempat kejadian.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta dua rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam.
“Pada jam lebih kurang 7.45 malam, semasa pengadu bertugas di Kaunter Pejabat Pertanyaan di Balai Polis Sungai Karangan telah terima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat empat mangsa lemas berdekatan kolam tadahan Taman Desa Kayangan,” katanya.
Pasukan perubatan mengesahkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
Kesemua kanak-kanak itu dipercayai tinggal berhampiran Taman Desa Kayangan.
Keluar rumah untuk bermain bola
Menurut Syamsul, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati keempat-empat kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah untuk bermain bola sebelum kejadian berlaku.
“Hasil temubual ibu mangsa mendapati kesemua mereka telah keluar dari rumah untuk bermain bola. Selepas itu, dipercayai bola terjatuh ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola tersebut sebelum terjatuh ke dalam longkang,” jelasnya.
Beliau berkata, tiada saksi yang melihat kejadian tersebut berlaku.
Longkang berkenaan dianggarkan sedalam kira-kira tiga meter dan mempunyai lebar lebih kurang 1.8 meter.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Sebelum ini, dua kanak-kanak dilaporkan lemas manakala dua lagi dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang tersebut. Polis kemudiannya mengesahkan dua mangsa yang dibawa ke hospital turut meninggal dunia.
Sumber: Sinar Harian
