Terima Upah RM70, Dua Lelaki Ditahan Bersama 13 Lembu Seludup Dari Thailand

Dua lelaki yang didakwa menerima upah RM70 untuk menghantar lembu menerima padah apabila dicekup bersama 13 ekor haiwan terbabit yang dipercayai diseludup dari Thailand, dalam serbuan di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas pada Ahad.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam menerusi Op Taring Wawasan.

Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan menahan sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori mendapati terdapat 13 ekor lembu.

“Pemandu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau kebenaran membawa haiwan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati semua lembu itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit memaklumkan mereka mengambil lembu tersebut di Kampung Palas Merah, Telaga Bata sebelum dihantar ke sebuah kandang di Binjai, Kota Bharu.

Mereka turut mendakwa menerima upah RM70 bagi tugasan penghantaran itu.

Menurutnya, lembu-lembu berkenaan dipercayai untuk dijadikan stok korban dan dianggarkan bernilai RM39,000, manakala lori digunakan pula bernilai RM100,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM139,000.

“Kedua-dua suspek ditahan manakala kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Seakan Pertubuhan Rasmi, Pelarian Rohingya Lantik Ketua Setiap Daerah Di Kelantan
|
Tular di media sosial mengenai kewujudan sebuah laman yang…
Bekal Air Ketum Kepada Nelayan, Dua Lelaki Ditahan Di Tok Bali
|
Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal…
Warga Emas Ditahan Bawa 800kg Beras Seludup Dari Thailand Di Tanah Merah
|
Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada…
Ronaldo Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Piala Dunia
|
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat…
Israel Dijangka Berperang Dengan Mesir Dalam Tempoh 15 Tahun
|
Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel berkemungkinan berdepan peperangan…
Tanah Diusahakan 20 Tahun Disita, Peneroka Gua Musang Tuntut Siasatan
|
Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!