Wanita Menyamar Sebagai Pramugari Batik Air, Sempat Masuk Dalam Pesawat

Seorang wanita berusia 23 tahun mencetuskan perhatian ramai selepas tindakannya menyamar sebagai pramugari Batik Air terbongkar dalam penerbangan dari Palembang ke Jakarta.

Memetik laporan Kompas, wanita dikenali sebagai Khairun Nisa, atau lebih mesra disapa Nisya, didapati mengenakan seragam lengkap pramugari termasuk kad pengenalan palsu dan beg pakaian kru penerbangan.

Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, Nisya dilaporkan membeli tiket sendiri sebagai penumpang biasa, sekali gus membolehkannya melepasi pemeriksaan boarding pass dan memasuki pesawat tanpa disedari.

Bagaimanapun, aksinya mula mencurigakan apabila kru kabin sebenar mengajukan soalan berkaitan tugas asas pramugari. Jawapan yang diberikan Nisya didapati tidak selari dengan prosedur operasi standard (SOP), sekali gus menimbulkan syak wasangka.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Nisya memakai kebaya putih bersama kain batik, rambut disanggul kemas serta membawa kad pengenalan yang menyerupai ID rasmi syarikat penerbangan tersebut.

Kecurigaan kru turut tertumpu pada perbezaan corak skirt seragam yang dipakai, yang dilihat tidak sepadan dengan uniform asal Batik Air.

Kekecohan tercetus sebaik pesawat mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, apabila anggota keselamatan penerbangan (Avsec) menunggu di pintu ketibaan sebelum membawa wanita berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

gadis menyamar pramugari batik air



Ketua Siasatan Jenayah Polresta Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Kompol Yandri Mono, mengesahkan bahawa hasil siasatan mendapati tiada unsur kesalahan jenayah dalam kes tersebut.

Menurutnya, pihak Batik Air juga memilih untuk tidak meneruskan sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya menyelesaikan perkara itu secara damai.

“Individu berkenaan telah membuat surat pernyataan untuk tidak mengulangi perbuatannya dan semua aksesori Batik Air yang digunakan telah dirampas,” katanya.

Dalam satu kenyataan terbuka yang dimuat naik ke media sosial, Nisya mengakui perbuatannya dan memohon maaf kepada Batik Air, Lion Group serta masyarakat umum.

Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan kerana keinginan untuk kelihatan sudah bekerja sebagai pramugari di hadapan keluarga, selepas gagal dalam permohonan pekerjaan bersama syarikat penerbangan itu.

“Saya mengakui bukan pramugari dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada kru mana-mana syarikat penerbangan. Ini hanyalah impian yang tidak tercapai,” katanya.

Difahamkan, Nisya membeli seragam dan aksesori pramugari secara dalam talian serta merancang untuk menukar pakaian selepas tiba di lapangan terbang, namun kesuntukan masa menyebabkan dia menaiki pesawat dalam keadaan berpakaian lengkap sebagai kru kabin.

Kes ini sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai tahap keselamatan penerbangan serta kawalan akses di lapangan terbang.



Sumber: Kompas

TERKINI

Polis Nafi Tak Ambil Tindakan Kes Lelaki Dipukul Ramai-Ramai Di Wakaf Bharu
|
Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak polis tidak…
Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
Jawatan Kosong Kelantan