Wanita Dari Kelantan Kongsi Kisah Disebalik Memiliki Nama Yang Unik

Memiliki nama yang unik sememangnya membuatkan seseorang mudah diingati, namun bagi Nijajujijaniba Mohd Jin, 45, ia turut hadir bersama pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita yang lebih mesra dipanggil Jiji itu berkata, ramai sering menganggap namanya pelik dan sukar disebut kerana mempunyai banyak suku kata.

Menurutnya, walaupun namanya panjang, suaminya, Rosli Yusof, 54, berjaya melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz ketika mereka berkahwin lebih 20 tahun lalu.

Jurunikah Tidak Tersasul Sebut Nama

Jiji berkata, jurunikah yang mengendalikan majlis perkahwinannya juga tidak mengalami masalah ketika menyebut namanya.

“Suami dan jurunikah hanya sebut nama saya sekali saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak pernah menyangka nama yang diberikan oleh bapanya, Allahyarham Mohd Jin Hassan, sering dikaitkan dengan nama masyarakat Thailand.

“Saya pernah bertanya arwah bapa mengenai nama yang diberi ini tetapi jawapannya ialah hanya berkenan dengan nama itu dan sesuai dengan diri saya,” katanya.

Pernah Diejek Ketika Zaman Sekolah

Ibu kepada empat anak berusia antara lapan hingga 21 tahun itu mengakui pernah berdepan ejekan ketika berada di sekolah rendah.

Katanya, ada rakan-rakan yang memanggilnya dengan gelaran tertentu sehingga membuatkan dia berasa sedih pada mulanya.

“Saya pada mulanya memang sedih dengan ejekan itu tetapi lama-kelamaan sudah biasa dan menganggapnya sebagai gurauan,” katanya.

Disebabkan tidak tahan diejek, Jiji pernah meminta untuk menukar namanya ketika berusia 12 tahun, namun hasrat itu tidak dipersetujui bapanya.

Kini Bangga Dengan Nama Sendiri

Menurut Jiji, perasaan malu dengan namanya masih dirasai ketika memasuki sekolah menengah sebelum akhirnya menerima keunikan tersebut.

Katanya, sehingga kini masih ada petugas di hospital atau pejabat tertentu yang mengalami kesukaran menyebut namanya ketika berurusan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana ramai kini menganggap namanya unik dan mudah diingati.

“Alhamdulillah, kini ramai yang kata nama saya unik dan saya juga tidak lagi malu berdepan dengan orang ramai,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Warga Emas Maut, Empat Cedera dalam Nahas Dua Kereta di Ketereh
|
Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi cedera…
KRW Perkenal Jersi Rasmi bagi Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) secara rasmi memperkenalkan jersi…
[VIDEO] KRW Bangkit Dua Kali Ikat Melaka FC 2-2 di Kota Bharu
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) dua kali bangkit daripada…
Polis Siasat Video Tular Jual Air Ketum Ketika RXZ Members
|
Polis membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan air ketum secara…
Jumlah Penduduk Kelantan Bagi Tahun 2026
|
Jumlah penduduk Kelantan dianggarkan meningkat kepada 1,925,300 orang pada…
Dari Penjual Tepi Jalan, Dolly Kini Dibayar Puluhan Ribu Untuk Hidang Teh
|
Di tepi sebatang jalan di Nagpur, India, seorang pemuda…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!