Stadium Baharu Kelantan Di Bukit Merbau Kini Mula Menampakkan Rupa

Perkembangan terkini pembinaan Stadium Bukit Merbau di Pasir Puteh menunjukkan projek mega sukan Kelantan itu kini mula menampakkan rupa apabila struktur utama stadium semakin jelas kelihatan.

Berdasarkan gambar kemajuan kerja bagi Julai 2026 dikongsikan kontraktor yang dilantik, beberapa bahagian utama stadium kini telah memasuki fasa pembinaan struktur konkrit.

Antara yang paling ketara ialah bentuk mangkuk stadium (bowl stadium) yang kini sudah jelas dengan binaan tempat duduk penonton mula mengelilingi kawasan padang utama.

progress stadium bukit merbau kelantan bulan jun 2026

Kemajuan kerja bulan Jun Stadium Bukit Merbau | Foto: Norlan United


Di bahagian utama stadium pula, struktur konkrit yang bakal menempatkan astaka utama, bilik persalinan pemain, ruang media, pejabat pengurusan serta pelbagai kemudahan sokongan juga sedang giat dibina.

Selain itu, kerja-kerja pembinaan asas tempat duduk di beberapa seksyen stadium turut kelihatan berjalan serentak, manakala kawasan tengah yang bakal menjadi padang permainan masih dalam proses penyediaan sebelum kerja pemasangan sistem saliran dan lapisan padang dilakukan pada fasa seterusnya.

progress stadium bukit merbau pasir puteh bulan jun 2026

Kemajuan kerja bulan Jun Stadium Bukit Merbau | Foto: Norlan United


Turut kelihatan ialah beberapa bangunan sokongan di sekitar kawasan kompleks yang sedang dibangunkan secara serentak bersama kerja-kerja infrastruktur.

Stadium utama Bukit Merbau dibina dengan kos kira-kira RM178 juta dan menjadi komponen terbesar dalam pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau yang bernilai keseluruhan sekitar RM293 juta.

Gambaran Stadium Bukit Merbau

Gambar janaan Ai Stadium Bukit Merbau berdasarkan lakaran 3d asal


Kompleks sukan yang dikenali sebagai Madinah Ar-Riadhah itu bukan hanya melibatkan pembinaan stadium utama, malah turut merangkumi pelbagai kemudahan sukan bertaraf kebangsaan termasuk stadium hoki, arena tertutup, kompleks skuasy, gelanggang lawn bowl, padang bola sepak sintetik serta padang ragbi.

Apabila siap kelak, kompleks berkenaan dijangka menjadi pusat pembangunan sukan baharu Kelantan selain menjadi venue utama bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.

Gambaran Stadium Bukit Merbau 2

Gambar janaan Ai Stadium Bukit Merbau berdasarkan lakaran 3d asal


Dengan kemajuan yang semakin ketara ketika ini, projek tersebut dilihat bergerak memasuki fasa pembinaan struktur yang lebih besar sebelum kerja-kerja seni bina, pemasangan bumbung, kemasan dalaman dan penyediaan padang dilakukan pada peringkat seterusnya.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!