Seorang murid berusia 11 tahun yang mempunyai masalah jantung meninggal dunia selepas terlantar dan bergantung kepada bantuan oksigen.
Keluarga Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan mendakwa murid itu diarahkan seorang guru menyertai acara larian semasa pemilihan rumah sukan walaupun surat perubatan berhubung penyakitnya telah diberikan kepada pihak sekolah.
Bagaimanapun, dakwaan terhadap guru serta kaitan antara aktiviti larian itu dengan kemerosotan kesihatan dan kematian Nur Qaira masih belum diputuskan oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan Malaysiakini, Allahyarhamah mengalami masalah jantung sejak berusia tiga bulan dan dikecualikan daripada menyertai kegiatan sukan di sekolah.
Ibu bapanya mendakwa murid Tahun Empat itu diarahkan menyertai acara larian pada 15 April lalu.
Nur Qaira dikatakan kelihatan sangat letih dan mengadu loya selepas pulang dari sekolah susulan aktiviti berkenaan.
Dimasukkan ke hospital pada 24 April
Ibunya, Norlela Shaari berkata, Nur Qaira dimasukkan ke hospital pada 24 April selepas muntah dengan teruk dan mengalami bengkak di sekitar mata.
Pemeriksaan perubatan kemudian mendapati kanak-kanak itu mengalami kegagalan jantung akibat dekompensasi dengan kardiomiopati dilatasi.
“Selepas doktor pediatrik cardio mengesahkan ada air di selaput jantung tu menyebabkan mata dan muka dia bengkak dan tidak dibenar melakukan banyak pergerakan hanya dengan wheel chair saja dan doktor hanya benarkan Qaira minum air satu liter saja untuk mengelak bengkak berulang.”
Dalam hantaran media sosial pada 16 Ogos, Norlela menggambarkan anaknya sebagai seorang kanak-kanak aktif yang rajin hadir ke sekolah meskipun mempunyai masalah jantung.
“Satu kesilapan dari seorang guru (PPKI) walaupun sudah diberi surat pengesahan tentang penyakit yang dihadapi (Qaira).
“Tindakan guru tersebut itu mengarahkan anak saya berlari pada pemilihan rumah sukan menyebab Qaira menjadi OKU terlantar memakai oksigen seumur hidup.
“Di mana sifat perikemanusiaan guru tersebut. Anak saya ‘berdendam’ dengan cikgu tersebut. Ini hanya urusan dunia...nantikan balasan di akhirat,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan beberapa gambar yang memaparkan Nur Qaira terlantar di katil hospital dengan alat bantuan pernafasan oksigen menutupi wajahnya.
Nur Qaira kemudian meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
KPM arah Unit Integriti ambil tindakan
Dalam perkembangan berkaitan, Kosmo! melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengarahkan Unit Integritinya mengambil tindakan lanjut berhubung kematian Nur Qaira.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu perlu dibuat mengikut peraturan yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
“Saya mengikuti dengan penuh rasa duka cita pemergian Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan. Saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini.
“Saya dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga,” katanya.
Fadhlina menegaskan bahawa KPM memandang serius semua perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.
“Saya juga telah mengarahkan Unit Integriti untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
“KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid,” katanya.
Menurut beliau, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan keluarga Nur Qaira diberikan ruang dan sokongan sewajarnya ketika menghadapi kehilangan tersebut.
“Pada masa ini, keutamaan KPM adalah untuk memastikan keluarga diberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga keluarga Allahyarham anakanda Nur Qaira diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” ujarnya.
Kosmo! turut melaporkan bahawa perkongsian mengenai kejadian itu tular di media sosial selepas bapa mangsa mendakwa anaknya yang mempunyai masalah jantung diarahkan menyertai aktiviti larian walaupun surat pengesahan penyakit telah diberikan.
Nur Qaira didakwa terlantar dan bergantung kepada mesin oksigen selepas kejadian berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu.
Sumber: Malaysiakini, Kosmo
