Remaja Perempuan Maut, Tiga Cedera Kereta Terbabas Di Lojing

Perjalanan pulang empat anak muda dari Cameron Highlands berakhir dengan tragedi apabila sebuah kereta yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di simpang Pondok Polis Lojing, Gua Musang, petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis mengenai kejadian pada jam 3.40 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 87 kilometer dari balai.

“Mayat berjaya dikeluarkan dari tempat duduk penumpang hadapan pada 5.05 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, Perodua Kelisa yang dinaiki dua remaja perempuan dan dua lelaki itu sedang dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Gua Musang sebelum terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, tiga lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!