Penghantar Makanan Hilang Kaki, Ibu Rayu Pemandu Langgar Lari Bertanggungjawab

Seorang ibu tidak mampu menahan sebak apabila anak lelaki tunggalnya terpaksa kehilangan kaki kiri selepas menjadi mangsa kemalangan langgar lari pada hujung Mac lalu.

Afidah Suhaili, 68, merayu agar pemandu kenderaan terbabit tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan, sekali gus bertanggungjawab atas kejadian menimpa anaknya, Putra Aqmal Syukrie Sabli, 24.

Menurutnya, keluarga tidak berniat untuk berdendam, sebaliknya hanya mahu isu itu diselesaikan dengan baik.

“Kami bukan mahu berdendam, cuma berharap dia tampil dan bertanggungjawab supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bako, Kuching.

Afidah berkata terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran lokasi kejadian yang menunjukkan pelaku sempat turun dari kenderaan sebelum terus memandu pergi.

Bagaimanapun, nombor plat kereta tidak dapat dikenal pasti kerana rakaman tidak jelas.

Beliau turut merayu sesiapa yang mempunyai rakaman CCTV atau kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan polis.


Mangsa Sedang Hantar Makanan Ketika Kemalangan

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada 30 Mac lalu, Putra Aqmal yang bekerja sebagai penghantar makanan dikatakan sedang menghantar pesanan dari Jalan Song ke Stutong, Kuching.

Namun, sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota Avanza didakwa tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan jalan.

Mangsa cuba mengelak, namun kaki kirinya bergesel pada sisi kereta sebelum dia terjatuh di atas jalan raya.

“Saya menjerit meminta tolong dan masih dalam keadaan sedar ketika itu. Saya menunggu kira-kira sejam sebelum ambulans tiba,” katanya.

Menurutnya, hari kejadian juga merupakan hari pertama dia kembali bekerja selepas bercuti Aidilfitri.


Doktor Terpaksa Potong Kaki Untuk Selamatkan Nyawa

Afidah berkata, meskipun kaki anaknya tidak putus sewaktu kejadian, keluarga menunggu hampir 15 jam sebelum Putra Aqmal menjalani pembedahan bermula jam 4.30 pagi keesokan harinya.

Katanya, doktor pada mulanya cuba menyambung semula urat pada kaki anaknya, namun akhirnya terpaksa melakukan pemotongan bagi menyelamatkan nyawa.


“Allah Belum Ambil Nyawa Saya, Cuma Kaki Sahaja”

Putra Aqmal yang juga alumni tahfiz Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Kuching serta bekas imam sementara di Surau Mahmudi, Kampung Gita berkata, dia reda dengan ujian yang menimpanya.

“Allah belum ambil nyawa saya, cuma kaki sahaja,” katanya.

Sebelum ini, dia memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan sebagai penghantar makanan dan turut mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran.


Kaki Palsu RM50,000, Kos Rawatan Cecah RM1,000 Sebulan

Afidah memaklumkan anaknya masih menjalani rawatan susulan dan pemulihan di hospital sebelum dijangka menerima pemasangan kaki palsu bernilai RM50,000 dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kami dalam proses menghantar borang bantuan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada juga sumbangan daripada wakil rakyat dan orang sekeliling,” katanya.

Beliau menambah perbelanjaan ubat-ubatan dan keperluan tambahan anaknya dianggarkan mencecah RM1,000 sebulan.


Polis Siasat, Tiada Laporan Daripada Pemandu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh pemandu kenderaan terbabit dan setakat ini juga tiada saksi tampil membantu siasatan.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Cikgu Borong 100kg Durian Musang King Di Gua Musang, Muat Dalam Volkswagen Beetle
|
Musim durian kali ini bukan sahaja membawa lambakan buah,…
Lelaki Ditahan Bersama 1,070 Pil Yaba Bernilai RM10,700 Dalam Axia
|
Tindakan seorang lelaki menyimpan lebih 1,070 pil yaba bernilai…
Juruwang Songlap Pin Touch ‘n Go Pasar Raya Lebih RM500,000 Sejak 2022
|
Tindakan seorang bekas juruwang pasar raya menyalahgunakan mesin terminal…
Imam Kelantan Kini Miliki Sijil Kemahiran Malaysia Dalam Pengurusan Masjid
|
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)…
Penjaring Gol Terpantas Piala Dunia Kini Jadi Pelarian Di Amerika Syarikat
|
Nama Hakan Sukur pernah disanjung sebagai antara pemain bola…
Cubaan Lari Gagal, Lelaki Thailand Ditahan Bersama 9 PATI Di Tumpat
|
Cubaan seorang lelaki warga Thailand meloloskan diri daripada pemeriksaan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!