Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas melanggar sebuah Proton Wira yang dipercayai membuat pusingan U secara mengejut di Jalan Kampung Bunohan, Tumpat, petang semalam.
Menurut laporan Buletin TV3, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu membabitkan mangsa lelaki berusia 29 tahun yang dalam perjalanan dari Chabang Empat menuju ke Kampung Banggol Beta melalui Jalan Tumpat–Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, setibanya di lokasi kejadian, Proton Wira yang berada di hadapan mangsa dipercayai membuat pusingan U secara mengejut.
Akibatnya, mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian sisi kanan kereta tersebut.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat bagi menjalani proses bedah siasat.
Menurut Mohd Khairi, pemandu Proton Wira dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan polis kini sedang giat mengesannya bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tumpat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ibrahim Usman di talian 09-7257222.
Sumber: Buletin TV3
