Kelantan City FC Bawa Masuk Pemain Naturalisasi Negara, Lee Tuck

Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan selepas hampir tiga tahun apabila menyertai Kelantan City FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

Kepulangan pemain tengah kelahiran England itu diumumkan oleh Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Penyertaan pemain berusia 38 tahun itu dijangka menambah pengalaman dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan Pantai Timur berkenaan.

Selain Lee Tuck, Annuar turut mengesahkan bekas pemain tengah Selangor dan Negeri Sembilan, Sean Selvaraj menyertai Kelantan City.

“Seramai 33 pemain termasuk Lee Tuck didaftarkan bermain untuk Kelantan City. Hari ini adalah hari terakhir pendaftaran pemain AFL (Liga Bolasepak Amatur).

“Sean Selvaraj turut menandatangani penyertaan bersama Kelantan City, tetapi pendaftarannya bermula Januari untuk memberi ruang pemulihan dan kecergasan setelah dia menjalani pembedahan ACL awal tahun ini,” katanya.

Pernah beraksi bersama empat kelab tempatan

Lee Tuck sebelum ini pernah menyarung jersi beberapa pasukan tempatan termasuk Negeri Sembilan pada 2017 dan Terengganu dari 2018 hingga 2020.

Dia kemudiannya beraksi bersama Sri Pahang dari 2021 hingga 2022 sebelum menyertai Kedah Darul Aman FC.

Lee Tuck meninggalkan saingan bola sepak Malaysia pada 2023 sebelum kembali bersama Kelantan City musim ini.

Pengalaman luas pemain tengah berkenaan dilihat mampu membantu Kelantan City yang sedang menikmati kempen Piala FA memberangsangkan.

Kelantan City mencipta kejutan pada pusingan 16 terbaik apabila menyingkirkan wakil Liga Super, Negeri Sembilan FC dengan agregat 4-3.

Cabaran pasukan itu bagaimanapun semakin sukar apabila dijadualkan menentang Kuching City FC pada peringkat suku akhir.

Kuching City merupakan naib juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!