Sekitar RM1.7 juta.
Itulah jumlah yang kini perlu dihadapi pengurusan Kelantan Red Warrior FC ketika pasukan sedang berusaha meneruskan saingan Liga Super.
Menurut perkongsian Penolong Pengurus Pasukan KRWFC, Wan Afiq Amirul atau Pikbum di media sosial, beban itu bukan bermula daripada pasukan tersebut, tetapi dari pasukan sebelum ini, Kelantan FC yang tiada kaitan dengan KRW.
Namun, demi memastikan pemain dapat terus bermain, jurulatih dapat bekerja dan pasukan kekal beroperasi, pengurusan mungkin terpaksa mengambil satu keputusan yang disifatkan “tidak masuk akal” oleh sesetengah pihak—membayar tuntutan tersebut.
“Hari ini, KRWFC terpaksa berdepan dengan angka sekitar RM1.7 juta.
“Persoalannya mudah bagaimana kami pengurusan baharu mahu mencari jumlah sebesar itu untuk menyelesaikan bebanan yang bukan bermula daripada kami?” katanya.
Lima Pemain dan Dua Jurulatih Era Terdahulu
KRW dilaporkan berdepan tujuh sekatan perpindahan FIFA melibatkan tuntutan lima bekas pemain import serta dua bekas jurulatih Kelantan FC.
Lima pemain itu ialah Dennis Buschening, Mario Arques, Kervens Belfort, Nuha Marong Krubally dan Ismahil Akinade.
Dua jurulatih yang disenaraikan pula ialah Kim Ming-yu dan Choi Moon-sik.
Mereka bukan pemain atau jurulatih KRWFC hari ini. Persoalan yang kini timbul ialah bagaimana tuntutan mereka akhirnya sampai kepada kelab baharu tersebut.
Pikbum berkata, pengurusan KRWFC turut mempunyai persoalan sama, termasuk mengenai kaitan penggunaan logo dengan sejarah Kelantan FC.
Beliau mendakwa logo KRWFC mempunyai status pemilikan berbeza dan penggunaannya telah mendapat kelulusan Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).
Proses Mahkamah Perlukan Masa
KRWFC kini mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak berkaitan. Namun, proses itu dijangka mengambil masa panjang.
Dalam tempoh sama, saingan Liga Super tidak berhenti menunggu. Pasukan masih perlu beroperasi, pemain perlu bermain dan jurulatih perlu menjalankan tugas.
“Kami bukan melarikan diri daripada tanggungjawab. Sebaliknya, kami sedang cuba mencari jalan untuk menyelesaikan satu masalah yang diwarisi supaya bola sepak Kelantan boleh terus berjalan,” katanya.
Atas dasar itu, pengurusan mungkin terpaksa memilih jalan untuk membayar tuntutan sekitar RM1.7 juta berkenaan.
“Tetapi untuk melakukannya, kami memerlukan masa.
“Masa untuk mengumpul kekuatan.
“Masa untuk mengumpul kewangan.
“Dan masa untuk mencari jalan terbaik,” katanya.
Setiap Tiket Membantu KRW
Pikbum turut menyeru penyokong supaya membeli tiket, mendapatkan pas musim dan hadir ke stadium.
Baginya, setiap tiket bukan sekadar bayaran untuk menyaksikan perlawanan. Ia merupakan sebahagian daripada sokongan kewangan yang membolehkan kelab terus berdiri dengan kemampuan sendiri.
“Setiap tiket yang dibeli adalah sebahagian daripada sokongan kewangan kepada kelab.
“Setiap kali kita memenuhi stadium, kita membantu memastikan KRWFC mampu terus berdiri dengan kaki sendiri,” katanya.
Perlawanan pada 4 September merupakan aksi terakhir KRWFC di laman sendiri bagi musim ini. Kutipan perlawanan tersebut memberikan manfaat lebih besar kepada kelab berbanding aksi di tempat lawan.
Buat pengurusan KRW, sokongan penyokong di stadium mungkin menjadi sebahagian daripada usaha mengumpulkan kekuatan untuk menyelesaikan beban yang mereka dakwa bukan bermula daripada mereka.
KRW bakal menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC di Kota Bharu pada 4 September 2026 dalam aksi Liga Super yang seterusnya.
