Seorang bapa tiri dihukum penjara 33 tahun dan 32 sebatan selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak tirinya sejak gadis itu berada di Tingkatan Dua, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Rabu.
Tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal berusia 40 tahun itu mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah, termasuk kesalahan mencederakan mangsa.
Berdasarkan fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar apabila ibu mangsa yang juga isteri tertuduh membuat laporan polis selepas mendapati anaknya dipukul oleh tertuduh.
Mangsa kemudian memberitahu bahawa dia dipukul kerana menceritakan kepada rakannya mengenai perbuatan tertuduh yang merogolnya.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku bermula ketika mangsa berusia 14 tahun hingga 18 tahun, termasuk ketika ibunya berada di hospital untuk bersalin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa sekitar Jun 2022 pada jam 12 tengah malam, manakala pertuduhan kedua berlaku pada 13 April 2023 jam 1 pagi di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa di lokasi sama pada Mei 2025 jam 11 malam, 9 Januari lalu jam 11 malam, 22 April lalu jam 3 petang dan 23 April 2026 jam 11 malam.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan.
Pada prosiding sama, tertuduh turut dihukum penjara dua tahun kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak tirinya pada jam 11 malam, 25 April lalu di lokasi sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh pada prosiding tersebut memohon budi bicara mahkamah untuk mengurangkan hukuman, namun pihak pendakwaan berhujah agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Kesalahan yang amat serius melibatkan mangsa berusia 14 tahun empat bulan dan berlarutan sehingga mangsa mencapai usia 18 tahun.
“Mangsa ialah anak tiri tertuduh yang tinggal serumah, menyebabkan mangsa terdedah dan sukar mendapatkan bantuan selain ketakutan sehingga tidak berani mendedahkan kejadian, malah dipukul apabila perkara itu diketahui tertuduh,” katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
