Enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu.
Menurut laporan Bernama, kumpulan berkenaan sepatutnya keluar dari kawasan hutan melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September, namun gagal berbuat demikian mengikut jadual.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan yang berada di Selangor.
Hasil semakan bersama Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka dipercayai sudah berada di kawasan hutan Perak sebelum komunikasi terputus.
“Pada masa ini kita sedang berurusan dengan pihak Perak untuk mendapatkan pengesahan kerana berdasarkan hubungan terakhir, mereka sudah berada di kawasan hutan Perak dan bukan lagi di kawasan Kelantan,” katanya ketika dihubungi.
Mempunyai permit memasuki hutan
Menurut Sik, kumpulan berkenaan mempunyai permit untuk memasuki kawasan hutan dan turut menggunakan khidmat dua malim gunung.
Mereka memulakan perjalanan melalui Pos Dakoh di Lojing sebelum dijadualkan menamatkan perjalanan di Pos Kemar, Perak.
“Buat masa ini kita belum menjalankan operasi di sebelah Kelantan kerana semakan menunjukkan mereka telah melepasi sempadan negeri. Kita hanya bersiap sedia sekiranya terdapat perkembangan atau pengesahan bahawa mereka berada di kawasan Kelantan,” katanya.
Polis turut menyemak maklumat mengenai kenderaan yang digunakan kumpulan itu, termasuk kemungkinan mereka menggunakan kenderaan sewa atau pengangkutan yang disediakan oleh malim gunung.
Sumber: Bernama
