YALA – Faktor kekayaan, paras rupa dan sikap bertanggungjawab menjadi antara sebab utama mengapa semakin ramai wanita di wilayah selatan Thailand memilih lelaki Malaysia sebagai pasangan hidup — meskipun terpaksa berkongsi kasih sebagai isteri kedua.
Imam Masjid Al-Furqan Pattani, Mukhlis Mustafa Dorlohn, berkata kecenderungan itu bukan fenomena baharu, malah semakin ketara dalam kalangan wanita Melayu di Narathiwat, Yala dan Pattani yang menganggap lelaki Malaysia lebih berhemah, romantik dan berkemampuan dari segi kewangan.
“Ada wanita Thailand yang tertarik kepada lelaki Malaysia kerana mereka dilihat lebih kacak, berduit dan pandai mengambil hati.
Walaupun sedar bakal menjadi isteri kedua, mereka tetap rela kerana percaya akan memperoleh kehidupan yang lebih stabil,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Masjid Besar Yala, baru-baru ini.
Mukhlis berkata, bagi sesetengah wanita Thailand daripada keluarga kurang berkemampuan, peluang berkahwin dengan lelaki Malaysia dianggap sebagai satu cara untuk meningkatkan taraf hidup.
Namun, katanya, fenomena itu turut melibatkan wanita berpendidikan tinggi atau berasal daripada keluarga kaya yang sukar menemui pasangan sekufu di negara sendiri.
“Sebahagian wanita Thai yang berjaya turut memilih lelaki Malaysia kerana berpendapat lelaki tempatan kurang berkemampuan atau tidak menepati cita rasa mereka — lebih-lebih lagi apabila ada yang terlibat dengan gejala sosial,” jelasnya.
Mukhlis turut mendedahkan bahawa segelintir lelaki Malaysia memilih untuk berkahwin di selatan Thailand bukan hanya kerana cinta, tetapi juga atas faktor ekonomi dan perniagaan.
“Ada lelaki Malaysia berkahwin di Thailand untuk membuka peluang baharu — kos perniagaan di sini lebih rendah berbanding di Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan, kadar hantaran pernikahan di selatan Thailand berbeza mengikut kawasan, namun secara purata sekitar 100,000 baht (RM12,000), dan boleh serendah 30,000 hingga 50,000 baht bagi keluarga sederhana.
“Urusan pernikahan juga lebih mudah kerana adanya wali am. Jika kedua-dua pihak bersetuju, prosesnya cepat dan tidak rumit,” ujarnya.
Mukhlis menambah, hubungan mesra masyarakat di sempadan serta pengaruh media sosial turut memudahkan perkenalan rentas negara.
“Biasanya hubungan bermula apabila lelaki Malaysia datang ke sini dan memuji makanan serta kecantikan wanita tempatan. Dari situ, hubungan mula terjalin.
Fenomena ini dijangka berterusan selagi hubungan sosial dan ekonomi antara dua negara kekal erat,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
