Tren pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menjadi nadi pengangkutan baharu negara dijangka memulakan perjalanan pertamanya dalam tempoh 11 bulan lagi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi, sosial dan budaya negara.
Tren pertama dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dengan jarak 665 kilometer (km) bakal memendekkan masa perjalanan yang sebelum ini mengambil tempoh yang panjang melalui laluan darat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat Januari lalu, projek bernilai RM50.27 bilion itu telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 91.70 peratus, selari dengan jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh fasa pengoperasian projek rel terbesar di Malaysia itu yang menjadi simbol kerjasama strategik Malaysia–China.
Menurutnya, projek ECRL mencatat satu lagi mercu tanda penting dengan ketibaan dua tren Electric Multiple Units (EMU) dan dua buah lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia.
Majlis peluncuran khas ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco itu turut mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek dan China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama dalam memastikan piawaian tertinggi dipatuhi bagi pembangunan sistem rel moden negara.
Projek ECRL memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 buah E-Loco untuk tujuan kargo daripada syarikat CRRC Dalian. Setakat ini, dua set tren EMU dan dua buah E-Loco telah selamat tiba di Malaysia pada akhir Disember lalu.
Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan kapasiti 425 penumpang dan dilengkapi kemudahan moden termasuk tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk serta kemudahan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan penumpang.
Sementara itu, E-Loco ECRL pula berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 km/j dengan keupayaan menarik sehingga 45 gerabak dan kapasiti muatan maksimum sebanyak 3,500 tan bagi setiap perjalanan.
Pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco dijadualkan bermula pada Januari 2027, sekali gus memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 km melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Usaha integrasi Pantai Timur dan Pantai Barat melalui ECRL dijangka meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan masa perjalanan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Sumber: Kosmo
SHARE:
