MRL Nafi Kadar Tambang ECRL yang Tular, Harga Sebenar Diumum Akhir Tahun Ini

Kadar tambang perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum dimuktamadkan, manakala angka yang kembali tular di media sosial baru-baru ini disahkan tidak tepat.

Menurut laporan Bernama, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan bahawa kadar tambang berkenaan tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.

Tambang rasmi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas proses penilaian dan kelulusan berkaitan selesai dimuktamadkan.

Pengumuman rasmi mengenainya dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.

“Insya-Allah, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan,” menurut hantaran Facebook ECRL.

MRL turut menasihati orang ramai agar tidak membuat andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Sebaliknya, orang ramai diminta merujuk pengumuman melalui saluran rasmi MOT, MRL dan ECRL bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan kadar tambang perkhidmatan itu.

Kota Bharu ke Gombak sekitar empat jam

Apabila mula beroperasi, ECRL dijangka memendekkan perjalanan antara Kota Bharu, Kelantan dengan Gombak, Selangor kepada kira-kira empat jam.

Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Gombak pula dianggarkan mengambil masa tiga jam, manakala perjalanan antara Kuantan dan Gombak sekitar satu jam 35 minit.

“ECRL bukan sahaja menawarkan pilihan pengangkutan baharu kepada rakyat, malah akan membawa perubahan besar kepada mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang,” menurut hantaran itu.

Fasa pertama ECRL yang menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!