Tiket ECRL Mula Dijual November, Harga Lebih Rendah Dari Tiket Kapal Terbang

Harga tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka diumumkan bulan ini sebelum jualan tiket dibuka pada November bagi persediaan operasi komersial yang disasarkan bermula pertengahan Disember 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pengumuman harga tiket itu dijangka dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.

Menurutnya, harga yang bakal ditetapkan dijangka bersifat dinamik dan mampu milik.

“Kita menjangkakan harga tiket yang dinamik dan mampu milik, iaitu lebih rendah berbanding harga kapal terbang dan sedikit tinggi daripada bas,” katanya.

Darwis berkata demikian pada Taklimat ECRL kepada Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama media di Kuala Lumpur hari ini.

12 Hingga 14 Perjalanan Sehari

Bagi Fasa 1 ECRL membabitkan laluan Kota Bharu-Gombak, sebanyak 12 perjalanan pergi balik akan disediakan dari Isnin hingga Khamis.

Jumlah itu meningkat kepada 14 perjalanan pergi balik bagi tempoh Jumaat hingga Ahad.

Dalam perkembangan sama, Darwis berkata MRL berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Fasa 1 yang mencapai 98.16 peratus setakat September lalu.

Beliau yakin sasaran untuk memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember 2026 dapat dicapai.

Kota Bharu-Gombak Kurang Empat Jam

Keupayaan ECRL turut diuji menerusi perjalanan Comprehensive Inspection Train (C.I.T.) baru-baru ini yang melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh tiga jam 19 minit.

Perjalanan sejauh 519 kilometer itu direkodkan pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.

Menurut Darwis, pencapaian tersebut mengesahkan keupayaan ECRL menyediakan perkhidmatan ekspres bagi laluan Gombak-KotaSAS-Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam tempoh kurang empat jam.

Secara keseluruhan, rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam.

Tempoh itu jauh lebih singkat berbanding perjalanan melalui jalan raya yang mengambil masa sekitar tujuh jam.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!