Empat Pemain Import JDT Kini Berstatus Pemain Tempatan, MFL Tambah Kuota Pemain

Empat pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan kini memegang status sebagai pemain tempatan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kuching City malam ini.

Menurut laporan Stadium Astro, empat pemain tersebut ialah Bergson da Silva, Manuel Hidalgo, Shane Lowry dan Brad Tapp.

Perubahan status mereka dikenal pasti menerusi senarai pemain bagi aksi berkenaan yang dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu hantaran di laman X.

Nama keempat-empat pemain itu tidak lagi ditandakan dengan huruf ‘I’ yang merujuk kepada status International atau pemain antarabangsa.

Perkembangan tersebut dijangka memberikan kesan besar terhadap perancangan JDT, khususnya berkaitan pendaftaran skuad dan penggunaan kuota pemain import bagi menghadapi musim baharu.

MFL Tambah Kuota Pemain Tempatan

Dalam perkembangan lain, Malaysian Football League (MFL) meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang menyertai Liga Malaysia musim 2026-2027.

Menurut laporan Bernama, keputusan itu meningkatkan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap kelab daripada 33 kepada 38 orang.

MFL dalam kenyataan memaklumkan kuota baharu tersebut merangkumi maksimum 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan. Kuota pemain asing pula kekal seperti ditetapkan sebelum ini.

Sebelum perubahan itu, setiap kelab hanya dibenarkan mendaftarkan maksimum 33 pemain, terdiri daripada 15 pemain asing dan 18 pemain tempatan.

Penambahan lima kuota baharu berkenaan dikhususkan untuk pemain berstatus tempatan serta tertakluk kepada syarat-syarat Financial Fair Play (FFP).

Keputusan tersebut dibuat susulan permohonan JDT dan Kuching City FC yang bakal berdepan jadual padat pada musim ini.

KRW Hanya Daftar Dua Pemain Import

Kelantan Red Warrior FC (KRW) yang turut akan bersaing dalam kancah Liga Super setakat ini hanya mendaftarkan dua pemain import dari musim lepas.

Sebelum ini KRW mengalami sekatan perpindahan atas sebab isu yang tiada kena mengena dengan kelab baharu tersebut.

Namun khabar mengatakan isu ini kini mendapat perkembangan positif dan KRW dijangka bakal mendaftarkan beberapa pemain import dan tempatan baharu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 3 September 2026.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!