Sektor keselamatan dan penguatkuasaan maritim di perairan Kelantan bakal terus diperkasakan susulan kelulusan beberapa projek pembangunan strategik bernilai RM232 juta yang kini berada pada fasa awal pembinaan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, peruntukan tersebut melibatkan pembinaan infrastruktur penguatkuasaan termasuk jeti sepanjang 200 meter, pejabat operasi serta lokap tahanan, dengan tempoh siap dijangka dalam masa tiga tahun.
Menurut beliau, cadangan pembangunan Pangkalan APMM Pengkalan Kubor seluas lebih satu hektar turut mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan dijangka bermula pada tahun 2027.
“Kos pembinaan pangkalan APMM di lokasi strategik itu dianggarkan mencecah RM5 juta. Projek ini masih di peringkat awal berbanding pembinaan ibu pejabat APMM Kelantan berhampiran Kuala Tok Bali,” katanya.
Selain itu, satu lagi projek penting ialah pembinaan kemudahan tahanan vesel di Sungai Semerak di atas tanah seluas kira-kira setengah ekar, dengan nilai dianggarkan antara RM2 juta hingga RM3 juta, yang kini masih di peringkat awal perancangan.
Mohd. Rosli berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Kelantan di Ibu Pejabat APMM Kelantan di Pasir Puteh.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan tugas Pengarah APMM Kelantan daripada Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi kepada Kepten Maritim Kamal Mohamad.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa tapak tahanan vesel APMM Kelantan ketika ini disewa sementara sebelum pemilik tanah bersetuju menjualnya kepada kerajaan bagi tujuan pembangunan jangka panjang.
Katanya, kawasan tersebut kelak mampu menempatkan lebih 10 vesel pada satu-satu masa, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Rosli berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) penguatkuasaan kini memberi fokus kepada pematuhan undang-undang dalam kalangan warga maritim di seluruh perairan negara.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 250,000 pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tahun lalu, dengan hanya 2,000 tangkapan direkodkan, iaitu sekitar dua peratus daripada sasaran yang ditetapkan.
Sumber: Kosmo
SHARE:
